Guru hukum pelajar lari pakai pelitup muka, tampil mohon maaf


  • Massa
  • Jumaat, 20 Mei 2022

Teoh (kanan) menemani ibu bapa murid itu untuk bertemu dengan guru sekolah menengah persendirian Cina pada Rabu.

GURU sebuah sekolah menengah persendirian Cina di Kulai, Johor yang menghukum murid berlari 30 pusingan mengelilingi gelanggang bola tampar dengan mengenakan pelitup muka, telah memohon maaf atas tindakannya itu.

Kejadian berlaku selepas salah seorang pelajar berusia 15 tahun, dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesukaran bernafas berikutan insiden itu.

Ketua Bahagian MCA Iskandar Puteri, Datuk Jason Teoh berkata, guru Pendidikan Jasmani dan ibu bapa pelajar itu telah bertemu dan berdamai pada hari Rabu lalu.

“Guru berkenaan mengaku tersilap dalam pertimbangannya dan tidak sepatutnya menjatuhkan hukuman sebegitu kepada murid. Dia kesal dengan tindakannya dan telah meminta maaf kepada ibu bapa remaja berusia 15 tahun itu.

“Ibu bapa murid itu juga telah menerima permohonan maaf guru terbabit selepas mendengar kekesalan dan penjelasannya ketika mereka bertemu di sekolah,” katanya pada Jumaat (20 Mei).

Teoh, yang menemani ibu bapa menemui guru berkenaan pada Rabu, menambah bahawa murid tersebut juga dibenarkan keluar dari hospital pada 15 Mei.

“Saya telah melawat pelajar itu dan dia sihat setakat ini. Saya berharap agar orang ramai berhenti mengungkit isu ini kerana ia telah diselesaikan secara baik,” tambahnya.

Pada 11 Mei lalu, sebuah akhbar berbahasa Cina telah melaporkan bahawa seorang guru menghukum seluruh kelas dengan membuat pelajar berlari 30 pusingan sambil memakai topeng muka. Ia selepas sebahagian daripada mereka tidak menyiapkan kerja rumah.

Salah seorang pelajar kemudiannya mula berasa tidak sihat dan mengalami jantung berdebar-debar selepas berlari 15 pusingan. Guru itu kemudian membenarkan gadis tersebut menghabiskan baki 15 pusingan dengan berjalan kaki.

Pelajar itu bagaimanapun terus berasa tidak sihat apabila dia pulang ke rumah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada hari sama, lapor akhbar tersebut.

Ibu saudara kepada remaja itu kemudiannya menggunakan media sosial untuk menyiarkan kekecewaan keluarga mengenai kejadian berkenaan.

Menerusi hantaran berlainan, sekeping gambar murid itu di atas katil hospital kemudiannya dimuat naik oleh ibu remaja berkenaan.

Catatan Facebook yang telah dipadamkan itu mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram