
NIAT seorang lelaki untuk mencuri dan melarikan aksesori kereta dipercayai bateri kereta gagal apabila aksi suspek disedari oleh orang awam melalui rakaman televisyen litar tertutup di premis berkenaan.
Menerusi rakaman video berdurasi 42 saat itu, lelaki yang menaiki sebuah motosikal berwarna merah dilihat cuba melarikan barang curi dengan kenderaan terbabit, namun sempat dihalang orang awam yang berada di tempat kejadian.
Pelaku terbabit dilihat cuba meloloskan diri menyebabkan dua orang awam tersebut terpaksa menahan motosikal itu hingga mereka hampir diseret. Sebahagian rakaman itu dapat dilihat walaupun insiden tersebut berlaku di bahagian titik buta CCTV.
Seterusnya dapat dilihat seorang lagi orang awam cuba membantu menghentikan motosikal suspek selepas dia meluru keluar dari sebuah premis dan mengejar kenderaan tersebut bersama seorang lagi lelaki.
Tidak dapat dipastikan sama ada penunggang motosikal itu dapat ditahan atau tidak selepas dia berjaya melarikan diri.
Difahamkan kejadian berlaku di Johor Bahru berdasarkan perkongsian info ringkas di Facebook Kongsi Segala Info pada Rabu.
Majoriti sedang menunggu respons daripada pihak polis berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram