Wanita mangsa gelandangan cedera, kepala diketuk lebih 20 kali guna telefon, ditendang sebelum disamun


  • 112
  • Khamis, 19 Mei 2022

MANGSA mengalami cedera parah kemudian mendapatkan rawatan di HTAR Klang, Selangor.

SEORANG wanita menempuh detik mencemaskan apabila ditendang, dipukul sebelum disamun seorang gelandangan dalam kejadian di bangunan Centre Point di Klang, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira pukul 12.25 pagi.

"Siasatan dijalankan mendapati, ketika kejadian kira-kira pukul 10 pagi, mangsa berusia 30-an berjalan kaki seorang diri menuju ke Center Point Klang telah ditendang dari arah belakang oleh seorang lelaki sehingga menyebabkan mangsa terjatuh sebelum disamun.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan memukul mangsa di muka dan kepala sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, mangsa yang cedera parah kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.

"Suspek telah dikenal pasti berdasarkan pengecaman wajah oleh mangsa dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Suspek merupakan seorang gelandangan, berbadan kurus, berkulit sawo matang, berambut panjang paras bahu dan dianggarkan berumur 40-an," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian sedang dijalankan.

Sementara menerusi satu hantaran di Facebook, suami kepada mangsa berkongsi gambar keadaan isterinya yang cedera akibat kejadian berkenaan.

post suami samun

Tulis pemilik akaun Hemi Mohd itu, dia meminta orang ramai supaya mendoakan keselamatan isterinya selain menceritakan kronologi keejadian yang menimpa pasangannya itu,

"Isteri saya diserang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali (orang gila),diketuk lebih 20 kali menggunakan telefon bimbit milik isteri saya sendiri, ditendang dan dipukul serta dikorek mata kanannya.

"Kejadian serangan berlaku dalam lingkungan 15 minit, isteri saya berjalan secara sendiri dengan berlumuran darah menuju masuk ke pusat beli belah dan kemudian dipimpin oleh seorang tukang cuci dan direhatkan dalam kedai emas Wah Chan sementara menunggu saya dan keluarga," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram