Dua wanita berdepan detik cemas, sempat rakam bukti disamun 2 lelaki bermotosikal


  • Tular
  • Jumaat, 22 Apr 2022

TANGKAP layar suspek yang sempat dirakam oleh mangsa.

DUA wanita berdepan detik cemas apabila mereka menjadi mangsa samun dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan Kiaramas, Kuala Lumpur pada Khamis.

Mangsa yang menggunakan nama lucidsoda turut memuat naik gambar dan videonya ketika cuba disamun menerusi akaun Instagram miliknya.

Mangsa berkata, kejadian berlaku pukul 8.53 malam ketika dia bersama rakannya sedang berjalan menuju ke Publika, Solaris Dutamas di ibu negara.

"Dua lelaki itu pada mulanya cuba menegur tetapi kami tidak hiraukan dan mereka telah berpatah balik.

"Ketika itu saya mula merakam kerana curiga dengan perbuatan mereka berdua," katanya.

Namun, suspek yang membonceng motosikal telah turun dan cuba merampas telefon mangsa hingga berlaku pergelutan antara mereka berdua.

Suspek kemudian telah bertindak memukul mangsa dengan menggunakan dahan pokok sehingga menyebabkan kecederaan.

"Ketika melarikan diri, seorang pengawal keselamatan sekolah telah membuka pintu pagar dan kami masuk untuk menyelamatkan diri," kata mangsa yang turut memberitahu bahawa suspek ketika itu sudah melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa yang terlibat ialah wanita warga asing berusia 26 tahun dan merupakan seorang pelajar.

"Kita sedang giat mengesan dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes tersebut.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 393/323 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan mendatangkan kecederaan," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Sarjan Nor Hafizullah Norahim (017-2232031) atau IPD Sentul (03-40482222). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram