Penunggang motosikal pura-pura dilanggar sebelum samun mangsa


  • Benua
  • Ahad, 17 Apr 2022

Tangkap layar video suspek ketika mengejar kereta mangsa dari arah belakang. — Agensi

SEORANG penunggang motosikal berpura-pura dilanggar kereta sebagai perangkap untuk menyamun mangsa dalam kejadian di Karawaci, dekat Tangerang, Indonesia.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam Jumaat itu, suspek telah merempuh belakang kereta mangsa yang ketika itu sedang dipandu oleh suaminya.

Mangsa terkejut apabila suspek menjerit dari arah belakang.

"Ketika itu, suami membawa kereta dengan perlahan disebabkan anak kami sedang tidur, tiba-tiba ada seseorang menjerit dari arah belakang, kemudian dia memotong ikut kiri dan merempuh 'bumper' hadapan.

"Dia terjatuh dan bangun sebelum terhuyung-hayang dan kemudian jatuh semula.

Jelasnya, suspek meminta mangsa dan suaminya untuk keluar dari kereta, selain meminta mereka bertanggungjawab atas alasan kononnya motosikalnya rosak.

"Saya tidak benarkan suami saya keluar kerana dia kelihatan mabuk.

"Saya percaya dia mengejar kami kerana menganggap hanya kaum wanita yang menaiki kereta kami," katanya.

Mangsa yang curiga dengan perkara itu meminta suspek untuk menyelesaikan perkara itu di balai polis berhampiran, namun suspek bertindak melarikan diri.

Video kejadian sempat dirakam oleh mangsa dan tular di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Karawaci, Kompol Hasoloan Situmorang berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Namun katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak panik sekiranya berhadapan dengan situasi tersebut serta melaporkan kepada pihak polis sekiranya menjadi salah seorang mangsa.

"Kalau jumpa orang sedemikian, jangan panik. Apabila berada di dalam kereta, jangan terus buka tingkap atau pintu. Segera ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram