POLIS Indonesia kini menyiasat motif sebenar pembunuhan seorang gadis, Dini Nurdiani, 26, yang ditemukan mati di Jawa Barat pada 13 Mei lalu.
Gadis malang itu terdahulu dilaporkan hilang sejak 26 April lalu selepas keluar untuk berbuka puasa dengan seorang lelaki, dipercayai suami kepada suspek utama kes tersebut.
Portal Tribunnews.com melaporkan, polis Cengkareng telah memindahkan kes pembunuhan Dini Nurdiani kepada Polis Metro Kota Bekasi.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bekasi Metro, Kompol Ivan Adhitira ketika dihubungi berkata, memandangkan lokasi jenayah di Kota Bekasi, maka siasatan kes dibuat oleh Polis Kota Bekasi.
Katanya, suspek bernama Neneng Umaya, 36, telah ditahan di Balai Polis Metro Bekasi City.
“Pada masa ini, Neneng Umaya telah ditahan,” katanya pada Isnin.
Menurut Ivan, ketika ini pihaknya sedang menjalankan siasatan mendalam bagi mendedahkan motif sebenar di sebalik kes pembunuhan itu.
"Siasatan dijalankan dengan memeriksa saksi termasuk suami Neneng. Motif cemburu itu andaian awal. Kita kena siasat secara menyeluruh apakah yang mendorong isterinya bertindak demikian," jelasnya.
Sebelum ini, Dini Nurdiani dilaporkan hilang sejak 26 April sebelum keluarganya membuat laporan orang hilang kepada Polis Cengkareng.
Dini Nurdiani dilaporkan hilang sejak 26 April sebelum keluarganya membuat laporan orang hilang kepada Polis Cengkareng. — Agensi
Setelah hampir sebulan hilang, Dini Nurdiani ditemui mati di kawasan Cibubur, Kota Bekasi, Jawa Barat pada Jumaat (13 Mei 2022).
Polis percaya, gadis itu dibunuh oleh wanita dikenali sebagai Neneng Umaya kerana hubungan sulit dengan suaminya.
Portal Sindonews melaporkan, Neneng Umaya mengajak mangsa berbuka puasa bersama menggunakan telefon bimbit milik suaminya. Dalam perbualan itu, pelaku yang menyamar sebagai suaminya berkata, mangsa akan diambil oleh anak saudaranya di Hentian Bas TransJakarta Taman Mini.
Suspek dikatakan memukul belakang kepala mangsa menggunakan batang besi hingga menyebabkan dia terjatuh. Dia kemudian menikam mangsa dengan senjata sama, namun mangsa dikatakan masih bernafas.
Neneng kemudian menggunakan alat gunting rumput untuk menikam mangsa hingga mati. Bukti yang digunakan pelaku dibuang ke dalam semak di sekitar lokasi berkenaan. Dia kemudian menukar pakaian baharu dan membuang pakaian yang berlumuran darah itu.
Jika sabit kesalahan, Neneng boleh dijatuhkan hukuman di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah kerana melakukan pembunuhan terancang dan 338 Kanun Jenayah kerana pembunuhan dengan ancaman yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram