Bayi antara 5 sekeluarga berdepan detik cemas di Kuala Pilah, MPV dihanyutkan arus banjir


  • 112
  • Selasa, 17 Mei 2022

Keadaan kereta Toyota Avanza yang dihanyutkan arus banjir di Kampung Dingkir Inas, Kuala Pilah, pada Isnin. — JBPM Negeri Sembilan

LIMA sekeluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan arus banjir dalam kejadian di Kampung Dingkir Inas di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada petang Isnin.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Abdul Halim Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 5.36 petang dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Sebaik tiba, didapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki lima individu terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak dan seorang bayi hanyut dibawa arus banjir.

"Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke rumah mereka di Johol," katanya pada Isnin.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Abdul Halim berkata, pihaknya turut melakukan operasi menyelamat di Kampung Dingkir di Kuala Pilah selepas kediaman penduduk dilanda banjir kilat.

"Kejadian disebabkan hujan lebat sejak tengah hari itu melibatkan lima rumah dengan anggaran 12 orang penduduk," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram