PENDUDUK di Tanjong Karang, Selangor digemparkan dengan kejadian ribut yang melanda kawasan itu pada lewat tengah malam Rabu.
Rata-rata penduduk berkongsi pengalaman berdepan hujan lebat dan angin kencang itu di Facebook I Love Tanjong Karang pada Rabu.
Ada penduduk kurang bernasib baik apabila kejadian itu merosakkan kediaman mereka dengan lokasi terjejas termasuklah di Kampung Sungai Sireh, Kampung Sungai Tengi Kanan Barat, Jalan Masjid Baroh dan Kampung Tok Adam.
Penduduk mendakwa angin kencang itu menerbangkan atap rumah selain menyebabkan pokok-pokok di sekeliling kediaman mereka tumbang.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 2 pagi Rabu ketika sebahagian besar penduduk sedang tidur. Mereka bagaimanapun dikejutkan dengan bunyi angin kuat selain tempias air hujan yang masuk ke dalam rumah melalui bumbung.
Luahan seorang penduduk yang terjejas akibat kejadian angin kencang dan hujan lebat yang melanda Tanjong Karang. — Facebook
Seorang penduduk, Hana Khairullah menerusi catatan di Facebook I Love Tanjong Karang berkata, dia dan keluarga dikejutkan oleh insiden itu awal pagi Rabu.
"Dugaan Hari Raya. Allahuakbar Allahuakbar. Pagi tadi pukul 2 pagi, rumah ibu bapa saya, Ustaz Khairullah Junid dilanda puting beliung. Rumah bahagian atas dan bawah semua habis banjir.
"Kami terkejut daripada tidur sebab angin puting beliung bunyi sangat kuat. Selang beberapa saat, air melimpah dekat bahagian atas rumah kerana bumbung habis dah takde (diterbangkan angin).
"Nasib baik sempat matikan suis utama. Terus angkat anak kecil yang masih tidur dalam keadaan rumah gelap gelita dan air melimpah," katanya.
Rakaman tular kejadian ribut di Pekan Tanjong Karang pada awal pagi Rabu. — Facebook
Katanya, mereka sekeluarga panik dengan kejadian itu kerana ia berlaku dengan pantas.
"Dalam keadaan yang sangat panik memang tak boleh fikir apa sebab air dari atas bumbung deras sangat dekat bahagian atas. Bahagian atas rumah dah tak ada yang boleh diselamatkan. Doakan kami tabah menerima ujian ini," katanya yang kini menumpang di rumah jiran.
Selain itu, video-video menunjukkan kejadian angin ribut itu juga tular di media sosial yang menunjukkan sebahagian besar khemah peniaga di Pekan Tanjung Karang roboh gara-gara insiden tersebut.
Difahamkan kejadian itu berlarutan hingga pukul 5 pagi.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 3.38 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram