Gagal selamatkan paus terdampar, penduduk potong daging untuk dijadikan makanan


  • Benua
  • Rabu, 11 Mei 2022

Penduduk memotong daging paus itu untuk dijadikan hidangan. — Agensi

SEEKOR ikan paus sperma betina yang mati di persisir Pantai Riangkaha, Nusa Tenggara Timur, Indonesia dipotong dagingnya oleh penduduk tempatan untuk dimakan.

Seorang penduduk pulau itu, Karolus Ike berkata, paus itu pada mulanya terdampar dalam keadaan separuh mati dengan kesan luka di badan oleh penduduk kawasan itu yang cuba untuk menolaknya ke pantai.

Namun, selepas gagal menyelamatkannya, mereka bertindak memotong ikan tersebut bagi mendapatkan dagingnya.

"Kami menemuinya pada Ahad lalu. Penduduk cuba menolaknya tetapi sukar. Ikan itu sudah menjadi makanan rakyat," katanya.

Menurutnya, sebelum dipotong, ketua penduduk di kawasan itu terlebih dahulu mengadakan upacara tradisional di lokasi itu yang dihadiri oleh ratusan penduduk.

Tambahnya, daging paus itu bukan sahaja dipotong oleh penduduk di kawasan itu, malah penduduk di beberapa kawasan terdekat lain turut hadir bagi mendapatkan dagingnya.

"Ramai orang yang datang, yang saya nampak mungkin ratusan orang. Tetapi sebelum penyembelihan, orang tua-tua kaum kita membuat upacara adat. Selepas itu baru dibenarkan memotong," kata Karolus.

Pihak berkuasa dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa paus itu adalah spesies paus sperma atau Box Head Whale dengan saiz 10 meter panjang dan lebar 1.8 meter.

Pihaknya turut menemui kesan koyak pada badan ikan paus itu, dipercayai akibat terkena batu karang dan gigitan haiwan lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram