Tidak cedera, tahanan maut di Balai Polis Seri Alam akibat Covid-19


  • 112
  • Selasa, 10 Mei 2022

USJKT JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

LELAKI yang dilaporkan maut ketika dalam tahanan di Balai Polis Seri Alam di Masai, Johor pada Ahad disahkan adalah berpunca daripada pneumonia atau radang paru-paru yang merupakan simptom wabak Covid-19.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa manakala ujian calitan mendapati lelaki tempatan berusia 48 tahun itu positif Covid-19.

"Bedah siasat telah pun dijalankan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 9 Mei mendapati tiada sebarang kecederaan dikesan.

"Ujian pengesanan Covid-19 telah dibuat ke atas mangsa dan berkeputusan positif.

"Punca kematian adalah disebabkan Covid-19 pneumonia dan kematian diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, mangsa merupakan lelaki tempatan yang telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima bulan bermula 27 April di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dijadualkan ditahan sementara di lokap balai berkenaan sehingga 10 Mei.

"Pada 8 Mei pukul 8.35 pagi, anggota bertugas di lokap memaklumkan bahawa banduan tersebut berada dalam keadaan lemah dan telah menghubungi pihak hospital," katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.35 pagi dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegr