Lelaki ditahan ganggu polis iringi orang kenamaan


  • 112
  • Selasa, 10 Mei 2022

Kejadian berlaku di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala susur masuk Jalan Sultan Abdul Halim, Kuala Lumpur pada Jumaat.

SEORANG lelaki ditahan kerana disyaki menghalang penjawat awam yang sedang mengiringi orang kenamaan dan memandu secara gopoh di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke susur masuk ke Jalan Sultan Abdul Halim, di Kuala Lumpur, pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata, susulan itu, polis menahan lelaki berusia 36 tahun itu kerana disyaki terbabit dalam kes tersebut dan direman selama empat hari.

"Individu tersebut akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Noor Dellhan berkata, pihaknya memberi amaran agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang, dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, penjawat awam, laporan, gopoh