Dua beradik yatim piatu akibat insiden di Gerik


  • 112
  • Selasa, 10 Mei 2022

Keadaan kereta mangsa kemalangan di Kilometer 76, Jalan Raya Timur - Barat Gerik - Jeli di Gerik, Perak pada Isnin. — Facebook

SEPASANG suami isteri maut dalam kemalangan selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan lain di Kilometer 76, Jalan Raya Timur - Barat (JRTB) Gerik - Jeli di Gerik, Perak pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, dalam kejadian itu, Mohd Azmi Imas, 47, dan isterinya, Rohani Abdullah, 48, menaiki kereta bersama dua orang anak mereka, iaitu seorang lelaki berusia 14 tahun dan perempuan berusia 18 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta jenis Nissan Latio yang dipandu mangsa bertembung dengan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki tiga lelaki kira-kira pukul 8.15 malam.

"Mangsa dipercayai memandu dari arah Gerik, Perak menuju ke Jeli, Kelantan manakala pacuan empat roda dari arah bertentangan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas masuk ke kanan jalan dan melanggar Mitsubishi Triton.

"Akibat kemalangan ini, kedua-dua mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan daripada Hospital Jeli," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, anak lelaki dan perempuan mangsa yang merupakan penumpang belakang masing-masing mengalami patah tangan kiri serta luka ringan di tangan kanan.

Beliau berkata, dua anak mangsa bersama seorang lagi penumpang dari kenderaan pacuan empat roda yang berusia 48 tahun dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan.

Tambah Mior Faridalathrash, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram