Pelajar tingkatan 4 terjatuh sebelum maut semasa latihan merentas desa di Terengganu


  • 112
  • Selasa, 10 Mei 2022

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SEORANG pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan, Marang, Terengganu meninggal dunia ketika sedang menjalani latihan merentas desa pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8.34 pagi itu, mangsa, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, dikatakan terjatuh ketika sedang berlari dan pengsan.

"Beberapa individu di lokasi telah cuba memberi bantuan pernafasan namun keadaan mangsa semakin lemah.

"Guru yang bertugas telah membawa mangsa ke klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan namun doktor memaklumkan mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, terdapat luka di bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri yang dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati bahawa pelajar berkenaan dikatakan tersadung kaki secara tiba-tiba ketika latihan menyebabkan mangsa terjatuh.

"Bapa mangsa telah membuat laporan polis dan menolak proses bedah siasat dilakukan kerana berpuas hati atas sebab kematian. Beliau juga menyatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi perkara berbangkit pada masa akan datang," katanya.

Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram