PEMANDU kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh dua pemotong rumput hingga seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Semeling, Sungai Petani, Kedah pada Sabtu, didapati tidak memiliki lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata, siasatan mendapati MPV berkenaan dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga seorang pelajar sebuah sekolah menengah.
"Setakat ini, remaja terbabit sudah ditahan dan kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Remaja terbabit yang memandu Perodua Alza tidak cedera dan dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Difahamkan, setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut sama ada remaja berkenaan memang diizinkan atau dia membawa MPV terbabit tanpa pengetahuan pemiliknya.
Dalam kejadian jam 11 pagi ini, seorang pekerja pemotong rumput warga Myanmar, Cinglowpa, 20, meninggal dunia akibat parah pada kepala manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah MPV ketika mereka berehat di bahu jalan.
Terdahulu, MPV yang dikatakan dipandu laju itu hilang kawalan serta terbabas dan merempuh dua pokok sebelum ia merempuh pula dua mangsa berkenaan.
Ketika kejadian, mangsa yang meninggal dunia sedang duduk atas rumput manakala rakannya yang parah pula berada atas motosikal yang diletakkan di bahu jalan. — Berita Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram