Undang-undang anti lompat parti perlu dibuat sebelum PRU15


  • Politik
  • Rabu, 04 Mei 2022

AHLI politik boleh menukar parti sesuka hati jika tiada undang-undang berkaitan dilaksanakan.

UNDANG-UNDANG anti lompat parti perlu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu ditegaskan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Pada saya, lebih baik kita laksanakan undang-undang sebelum PRU, kerana kita tidak mahu perkara yang berlaku pada dua tahun lalu berulang.

"Sekiranya undang-undang tidak bersedia apabila kita mengadakan PRU, wakil rakyat boleh melompat ke kiri dan kanan selepas itu," katanya.

Ahli Parlimen Santubong itu merujuk kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada dua tahun lalu selepas beberapa ahli Parlimen menarik diri daripada gabungan itu dan kemudian memilih untuk menukar parti.

Wan Junaidi berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai cadangan undang-undang yang dipengerusikannya juga belum mencapai keputusan muktamad dalam penyempurnaan Rang Undang-undang itu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dijadualkan bermesyuarat semula pada 12 Mei.

"Ini adalah jawatankuasa yang berkuasa dengan pakar undang-undang yang berpengalaman, jadi saya yakin kita boleh menyelesaikan apa sahaja isu yang ada dengan Rang Undang-undang yang dicadangkan," katanya.

Tambahnya, sebaik penelitian selesai, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memutuskan bila RUU itu akan dibentangkan di Parlimen, sama ada pada sesi Julai yang dijadualkan atau sidang khas sebelum itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram