Loket emas, wang RM1,200 lesap ketika ziarah kubur di Klang


  • 112
  • Rabu, 04 Mei 2022

Saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

SEORANG wanita dan ibunya mengalami kerugian apabila wang tunai berjumlah RM1,200 serta barangan peribadi milik mereka lesap selepas kereta dipecah masuk dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Klang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, laporan dibuat mangsa kira-kira pukul 6.48 petang.

"Siasatan awal dijalankan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama ibunya meletakkan kenderaan jenis Perodua Axia miliknya di dalam pekarangan Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang untuk menziarahi kubur ayahnya.

"Setelah selesai menziarahi kubur, mangsa mendapati cermin keretanya di bahagian depan sebelah kiri telah dipecahkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa mendapati beg tangan miliknya dan emaknya telah hilang.

"Antara barangan yang hilang adalah dua buah telefon bimbit jenis Vivo dan Samsung, dokumen pengenalan diri.

"Selain itu, turut hilang wang tunai RM1,200, kad ATM dan sebiji loket emas," katanya.

Menurutnya, siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan.

"Saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram