Solat Tarawih terakhir, peniaga keropok bonceng motosikal maut tercampak


  • 112
  • Ahad, 01 Mei 2022

Mangsa disahkan maut dilokasi kejadian. — Harian Metro

PENIAGA keropok yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Tarawih maut dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang, Terengganu, malam Sabtu.

Dalam kejadian 9.40 malam itu, mangsa, Faridah Ali, 48, yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Dua lagi mangsa iaitu anak perempuan mangsa, Shafiqa Aliea Abd Jalil, 20, dan pejalan kaki warga Myanmar masing-masing cedera di kepala.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama anaknya yang baru saja selesai menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal jenis Yamaha Ego ditunggang dua beranak itu dalam perjalanan dari arah Kampung Bukit Gasing menghala ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, seorang pejalan kaki tiba-tiba melintas dan jarak yang dekat menyebabkan anak perempuan mangsa yang menunggang motosikal itu tidak sempat mengelak lalu terlanggar lelaki terbabit.

"Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal terseret ke di lorong sebelah kanan manakala mangsa tercampak ke sebelah kiri jalan.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Dua lagi mangsa turut dibawa ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya pada Ahad. — Harian Metro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram