Polis maut SUV terjunam dalam sungai, hasrat hantar keluarga pulang beraya tak kesampaian


  • 112
  • Ahad, 01 Mei 2022

Perodua Aruz yang dipandu mangsa terbabas dan terjunam ke dalam sungai.

NIAT murni seorang anggota polis berpangkat koperal menghantar ahli keluarganya untuk pulang menyambut Aidilfitri tidak kesampaian apabila dia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Kilometer (km) 15, jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan awal pagi Ahad.

Dalam kejadian pukul 4.50 pagi itu, mangsa, Ahmad Ibrahim, 31, yang bertugas di Balai Polis Trafik Klang, Selangor maut di lokasi manakala anaknya, Nur Ariana Sofia, tiga, mengalami kecederaaan parah.

Sementara isteri mangsa, Nurulasma Zakaria, 31, serta dua lagi anak mereka masing-masing berusia lapan bulan dan empat tahun cedera ringan.

Turut cedera ringan dua adik ipar mangsa yang berumur 27 dan 19 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai dalam perjalanan menghantar ahli keluarga ke kampung.

"Setiba di lokasi kejadian, Perodua Aruz dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan terbabas ke dalam sungai.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram