Maut kemalangan selepas berbuka puasa bersama kawan di Kajang


  • 112
  • Ahad, 01 Mei 2022

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Sinar Harian

SEORANG penunggang motosikal maut akibat kemalangan di Jalan Bangi Lama, di Kajang, Selangor pada Ahad ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berbuka puasa bersama rakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman berkata, kejadian pada pukul 12.01 tengah malam itu berlaku ketika lelaki berusia 21 tahun itu dalam perjalanan balik dari Kajang ke Banting.

Kata Mohd Nasir, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Pulsar itu dipercayai telah gagal mengawal motosikalnya semasa mengambil selekoh sebelum terbabas jatuh di laluan bertentangan.

"Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan polis meminta saksi yang melihat kejadian untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor M Somasureshan di talian 016-4915193 atau 03-89114262.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kemalangan, maut, penunggang motosikal, Kajang,