Dua pemandu maut, budak enam tahun antara tiga parah kemalangan di Jeli


  • 112
  • Sabtu, 30 Apr 2022

Kemalangan dipercayai berpunca apabila kenderaan Proton Wira terbabas dan masuk ke laluan bertentangan. — Sinar Harian

DUA maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan yang melibatkan dua kenderaan di Kilometer 108, Jalan Raya Timur Barat dekat Jeli, Kelantan kira-kira pukul 11 malam Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Supritendan Shuhaimi Jusoh berkata, kedua-dua mereka yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada pemandu kereta Perodua Alza, Mohd Hazlan Ibrahim @ Saleh, 33, dan pemandu Proton Wira, Muhamad Baijuri Mohd Shariff, 26.

Beliau berkata, tiga lagi yang parah adalah penumpang Perodua Alza iaitu seorang wanita berusia 31, dua kanak-kanak berusia lapan dan enam tahun, manakala seorang kanak-kanak berusia satu tahun yang turut terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Proton Wira terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Alza. Kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu telah dibawa ke Hospital Jeli untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Shuhaimi berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kemalangan, maut, kereta, Suhaimi Jusoh