Padah semberono di lebuh raya, polis cari pemandu Alphard


  • 112
  • Ahad, 01 Mei 2022

Tular video berdurasi 2.25 minit di Facebook memaparkan sebuah MPV jenis Toyota Alphard warna putih dipandu secara berbahaya dengan memotong di lorong kecemasan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya yang lain pada Sabtu.

PEMANDU kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dikehendaki polis selepas video kenderaan itu dipandu secara berbahaya dan lagak samseng jalanan tular di media sosial pada Sabtu.

Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi kenyataan memaklumkan, video berkenaan memaparkan sebuah Toyota Alphard warna putih dipandu secara berbahaya dengan memotong di lorong kecemasan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya yang lain

"Pemandu Toyota Alphard ini juga dilihat melakukan tindakan membuli pengguna jalan raya lain ketika kejadian.

"Tindakan pemandu ini boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada dirinya tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, semakan dijalankan mendapati kejadian berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah timur).

"JSPT mendapati kejadian berlaku pada 30 April 2022 (Sabtu) dekat Lebuhraya KL-Karak (arah timur) dan semakan pemilik kenderaan ini telah dikenal pasti.

"Pemandu ini diminta segera menyerah diri ke Balai Trafik IPD Gombak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Pada Sabtu, tular video berdurasi 2.25 minit di Facebook memaparkan sebuah MPV jenis Toyota Alphard warna putih dipandu secara berbahaya dengan memotong di lorong kecemasan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya yang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram