Bot untuk penduduk kampung terutama pelajar menyeberang ke sekolah


  • Primer
  • Sabtu, 30 Apr 2022

DUA video yang tular memaparkan kesukaran pelajar di Sabah untuk ke sekolah.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memandang serius isu yang membabitkan keselamatan murid dan pelajar di semua sekolah termasuk bekerjasama dengan agensi lain bagi memastikan aspek berkenaan sentiasa diberi perhatian.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, berkata, walaupun perkara itu di luar kawasan sekolah atau institusi milik kementerian berkenaan, pihaknya tetap memberikan perhatian yang sewajarnya.

"KPM memandang berat mengenai keselamatan murid dan pelajar di semua sekolah dan akan terus memantau serta bekerjasama dengan agensi bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan, di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu tular mengenai murid sekolah di Kampung Nangkawangan, Nabawan yang terpaksa menaiki rakit atau bergayut pada kabel 'zip line' untuk menyeberang sungai selepas jambatan gantung di kampung itu musnah akibat banjir bulan lalu.

Mengenai isu itu, Mohamad berkata, jambatan gantung dihanyutkan banjir yang menjadi laluan utama murid ke sekolah sebelum ini adalah jambatan awam dan bukan dalam kawasan sekolah.

"Alat (zip line) yang dibuat dan dinaiki mereka itu sebenarnya untuk menghantar barang orang kampung tetapi macam mana mereka tertarik untuk naik benda itu kita tidak tahu.

"Apabila kena rakam ia menjadi isu di luar kawalan pula. Dimaklumkan ada juga jalan alternatif untuk orang kampung dan pelajar sekolah gunakan untuk menyeberang sungai tapi memang jauh sikit," katanya.

Katanya, beliau juga difahamkan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup sudah mendapat kelulusan untuk membina jambatan gantung baharu dan kini hanya menunggu pelaksanaan.

Sementara menunggu jambatan itu siap, katanya, kerajaan akan membekalkan beberapa bot untuk kegunaan penduduk kampung dan murid sekolah menyeberang sungai.

"Sebenarnya isu ini tiada kena mengena dengan KPM sebab ia adalah infrastruktur awam bukan di kawasan sekolah.

"Tetapi apabila video tular seolah-olah itu isu KPM sedangkan ia adalah di bawah tanggungjawab agensi lain. Difahamkan pejabat daerah dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sedang menangani isu ini," katanya.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor turut mengumumkan peruntukan segera untuk membeli bot bagi kegunaan murid dan penduduk Kampung Nangkawangan.

Beliau turut mengarahkan Pegawai Daerah Nabawan untuk berhubung segera dengan Jabatan Ketua Menteri Sabah bagi mendapatkan peruntukan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram