'Hari ni caj harga makanan lain, esok tukar cashier harga lain'


  • Tular
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Tangkap layar rakaman tular keluhan pelanggan yang merasakan harga makanan di Restoran Silvas Curry House mahal. — TikTok

SETIAP kali juruwang bertukar orang, harga makanan pun pasti berubah. Begitulah keluhan seorang pelanggan yang merasakan makanan yang dijual di Restoran Silvas Curry House, SS15, Subang Jaya bukan sahaja mahal tetapi tidak ditetapkan pada satu kadar sama.

Pelanggan itu, Vishnusiwaraja juga kesal kerana bil yang diberikan kepada pelanggan tiada butiran bagi setiap harga makanan yang dibeli.

"Hampir setiap hari saya beli makanan di sini untuk makan tengah hari. Saya perasan harga makanan di kedai ini tidak konsisten. Kejap RM15, kejap RM10.50, kejap RM14, tapi hampir setiap hari saya beli makanan di sini harganya lebih kurang sama sahaja.

"Contohnya, pada Rabu lepas, saya beli nasi lauk ayam dan sayur, buah serta teh tarik yang kesemuanya berjumlah RM15. Dalam bil itu pun, tiada break down harga setiap satu barangan yang saya beli. Tapi saya bayarlah, tiada masalah pun," katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Vishnusiwaraja berkata lagi, pada Khamis, dia membeli makanan sama seperti yang dibeli pada hari sebelumnya namun dikenakan caj harga RM19 pula.

Rakaman tular keluhan pelanggan yang merasakan harga makanan di Restoran Silvas Curry House mahal. — TikTok

"Makanan sama, nasi, ayam, sayur dan buah cuma air bukan teh tarik tetapi sebungkus teh ais. Bagi saya tak masuk akal jadi saya hubungi pihak restoran untuk dapatkan penjelasan.

"Saya diberitahu harga nasi RM3.50...kira okay lah bagi saya, sayur (RM2), teh ais (RM2.50) yang kesemuanya berjumlah RM8.

"Jadi pihak restoran nak justify harga RM11 dengan lauk ayam yang saya ambil. RM11 untuk 12 ketulan kecil ayam, maknanya seketul ayam ni mereka caj saya 91 sen," katanya yang merasakan amaun itu benar-benar cekik darah.

Menurut Vishnusiwaraja, dia sudah membuat laporan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung perkara itu.

"Pengusaha restoran ini memang betul-betul ambil kesempatan. Bagi bil tapi tak spesifik pun harga nasi, ayam, sayur, telur dan sebagainya.

"Jadi saya harap tindakan wajar dapat diambil kepada restoran ini," katanya.

Rakaman aduan Vishnusiwaraja yang berdurasi tiga minit itu mendapat lebih 15,200 tanda suka di TikTok sejak dimuat naik pada Khamis.

Sementara itu, Majoriti juga mendapatkan respons pihak restoran serta KPDNHEP terhadap isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram