
PARTI Pejuang membidas kenyataan Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor, Isham Jalil yang mendakwa Majlis Peguam Negara mempertahankan penerima rasuah.
Ujar Ketua Penerangan Pejuang Muda, Akif Rusli, kenyataan sedemikian dibuat bermotifkan pembelaan politik semata-mata.
"Tidak pernah wujud satu tuduhan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali melainkan hanya satu siasatan yang kononnya sedang dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Jadi di mana wujudnya salah laku jenayah itu?
"Malahan, kenyataan media SPRM pada Khamis (28 April) jelas menegaskan bahawa siasatan tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Nazlan didakwa terima rasuah berjumlah RM1 juta.
Tambahnya, kelakuan ditonjolkan oleh Isham itu jelas berbeza dengan keadaan ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sudah didapati bersalah setelah perbicaraan penuh dilaksanakan.
"Mengapa bila timbul isu Najib dituduh dan dijatuhkan hukuman serta dilabel sebagai 'plundering idiot' dan 'national embarassment', Isham begitu bersungguh-sungguh mempertahankan penjenayah yang menanti hukuman ini?
"Oleh itu tidak layak langsung untuk beliau melemparkan tuduhan bahawa Majlis Peguam Malaysia mempertahankan individu yang menerima rasuah," tegasnya.
Akif berkata, Pejuang Muda mengambil pendirian bahawa tidak ada sebab kukuh untuk Mohd Nazlan direhatkan.
"Ironinya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang kononnya sedang menyiasat dakwaan ini juga tidak pernah direhatkan atau dicutikan semasa beliau sedang disiasat sekali pun desakan bertubi dari rakyat.
Terdahulu, Mohd. Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaun.
Rentetan itu, Mohd. Nazlan membuat laporan polis berhubung artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram