Dana 1MDB: Rohana setuju pulang semula wang


  • 112
  • Rabu, 13 Apr 2022

Leissner (tengah) adalah saksi utama kes perbicaraan Roger di AS. — Bloomberg

KONTROVERSI membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro), Datuk Rohana Rozhan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menggemparkan negara.

Rohana yang didakwa mempunyai kaitan dengan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner, dikatakan menerima sejumlah aset berjumlah AS$10 juta (RM42.3 juta).

Leissner mendedahkan pemberian aset berkenaan yang digunakan bagi membeli sebuah rumah bernilai AS$7 juta (RM29.6 juta) di Montpelier Street, London, adalah bagi 'menutup mulut' Rohana tentang isu 1MDB.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Utusan Malaysia, Rohana dikatakan bersetuju menyerahkan aset yang dimilikinya daripada Leissner.

"Proses mendapatkan aset-aset tersebut giat dilakukan SPRM ketika ini," dedah sumber itu pada Selasa.

Rohana sebelum ini menyatakan kesediaan untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa dan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Screenshot 2022-04-13 122729

Rohana menerima aset berjumlah AS$10 juta daripada Leissner

Pada Februari lalu, Leissner mendedahkan hubungannya dengan Rohana sewaktu perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berhubung 1MDB di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan Bloomberg, Leissner mendedahkan kepada pendakwa raya, dia menjalinkan hubungan dengan Rohana sejak 2003 hingga 2013.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terlibat dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

Pertuduhan terhadapnya turut merangkumi penjualan bon berkaitan 1MDB bernilai kira-kira AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion), yang diuruskan dengan bantuan Goldman Sachs pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya berkata, AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) daripadanya digelapkan pegawai bank itu dan rakan sekutu mereka, dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

Goldman Sachs pada 2020, bersetuju membayar denda AS$3 bilion (RM12.5 bilion) dan anak syarikatnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.

Leissner ialah saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs, Roger yang didakwa membantu menyeleweng dana kekayaan 1MDB milik Malaysia ketika skim itu wujud dari 2009 hingga 2014.

Screenshot 2022-04-13 122839

Roger didapati bersalah atas dua pertuduhan membabitkan 1MDB. — Reuters

Roger turut didapati bersalah oleh Mahkamah AS kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada 1MDB.

Keputusan oleh juri di negara berkenaan diumumkan oleh mahkamah di Brooklyn, New York, AS.

Beliau didakwa membantu bekas ketuanya, Leissner menggelapkan wang 1MDB, mengubah wang dan merasuah pegawai berkaitan untuk mendapatkan perniagaan untuk Goldman Sachs.

Juri mendapati Roger bersalah bagi dua tuduhan berkonspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Luar Negara (FCPA) dengan merasuah dan memintas kawalan akaun dalaman Goldman, serta satu tuduhan berkonspirasi untuk melaksanakan pengubahan wang. — Utusan Malaysia

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram