
SEORANG penduduk di Taman Pelangi, Johor Bahru, Johor bimbang dengan keselamatannya selepas tembok pagar rumahnya runtuh ketika ribut petir pada Mac lalu.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Wong itu mendakwa, sebahagian struktur rumanya runtuh disebabkan keretakan di bahagian longkang bersebelahan tembok pagar itu.
Bercerita mengenai insiden tersebut, Wong berkata, ketika itu dia berada di dapur rumahnya sebelum mendengar bunyi bising di bahagian luar.
"Anjing saya terus menyalak jadi saya bergegas keluar. Saya terkejut apabila mendapati bahawa seluruh dinding telah runtuh. Ini pertama kali terjadi sepanjang 30 tahun saya tinggal di rumah ini.
"Ketika itu hujan lebat dengan angin kencang jadi saya mengesyaki faktor cuaca menyebabkan lebih banyak keretakan di dalam longkang hingga mengakibatkan dinding runtuh," katanya.
Wong berkata, longkang di sebelah rumahnya sudah rosak sebelum kejadian dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebelum ini hanya membaiki longkang yang bertentangan dengan rumahnya.
Berikutan kejadian itu, dia meminta bantuan bekas ahli majlis MBJB, Ang Boon Heng dan dia melawat rumah Wong pada keesokan harinya bersama pekerja majlis bandaran.
"Pekerja memberi jaminan kepada saya bahawa perkara itu akan ditangani secepat mungkin dan MBJB akan membaiki longkang serta membina semula tembok pagar rumah saya.
“Saya gembira bila memikirkan masalah saya sudah selesai namun hingga kini, sudah hampir sebulan berlalu dan tiada sebarang tindakan diambil daripada mereka," katanya.
Menurut Wong, air kotor telah mengalir dari deretan kedai di belakang rumahnya dan berkumpul di bawah runtuhan sekali gus berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya MBJB ketika dihubungi berkata, tembok itu dibina tanpa kelulusan majlis bandaran di atas rizab saliran awam.
“Sebarang bentuk pembinaan perlu dirujuk kepada MBJB untuk kelulusan terlebih dahulu bagi mengelak kejadian tidak perlu.
“Berdasarkan rekod kami, dinding kediaman itu tidak mempunyai asas kukuh pada awalnya.
“MBJB hanya boleh membantu dalam kerja-kerja pembersihan dalam kes ini dan kami dalam proses mendapatkan kelulusan untuk ini,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram