Penjawat awam antara diugut video lucah di Terengganu, ramai lagi ‘terkena’ masa VC


  • 112
  • Isnin, 25 Apr 2022

POLIS sarankan agar orang ramai 'berkawan' dengan polis dan merujuk kepada pihak berkuasa jika mendapat panggilan yang mencurigakan bagi mengelakkan daripada ditipu.

POLIS Terengganu menahan dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dengan beberapa kes pemerasan menggunakan panggilan video (VC) lucah di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tangkapan pertama menerusi Op Cantas VC itu membabitkan pasangan suami isteri masing-masing berumur 27 tahun dan 23 tahun di Sungai Petani, Kedah pada 10.15 pagi, Sabtu lepas.

"Susulan tangkapan itu, seorang lagi lelaki berumur 39 tahun ditahan di Baling, Kedah dan polis merampas beberapa telefon bimbit, iPad dan juga beberapa keping kad bank dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu.

"Modus operandi suspek adalah berkenalan dengan mangsa melalui aplikasi seperti Mi Chat dan mengajak mangsa membuat VC lucah dan sebaik panggilan ditamatkan, suspek terus mengugut mangsa dan menunjukkan video yang telah dirakam semasa VC," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin.

Beliau berkata, di Terengganu, pihaknya menerima tiga laporan mangsa terbabit dan setiap mereka dikatakan diugut untuk melakukan beberapa transaksi wang tunai ke akaun bank suspek bagi memastikan video lucah mereka tidak disebarkan di laman sosial.

"Jumlah transaksi tak sama, ada yang sekali masukkan hanya RM30, esoknya suspek minta lagi dan ada yang sudah lakukan transaksi hingga RM2,000," katanya yang memaklumkan semua mangsa adalah lelaki termasuk ada yang bekerja dalam sektor awam.

Rohaimi berkata, sindiket pemerasan itu dipercayai baru beroperasi pada tahun ini dan semua laporan yang diterima di negeri ini melibatkan kejadian sepanjang April sahaja, serta beliau percaya masih ramai mangsa terlibat enggan membuat laporan kerana ia melibatkan maruah pengadu.

"Siasatan lanjut kita mendapati ada empat lagi kes berkaitan dengan kes ini di luar Terengganu dan kita sudah menghubungi kontinjen terbabit untuk bekerjasama," katanya.

Sementara itu, Rohaimi turut memaklumkan bahawa jumlah kes jenayah komersial bagi empat bulan pertama tahun ini di Terengganu menunjukkan peningkatan yang sangat ketara.

"Dalam tempoh sama tahun lepas kerugian direkodkan adalah lebih RM500,000, tapi bagi tahun ini sudah mencecah hampir RM4.5 juta.

"Kita dah cukup bagi pendedahan tentang Macau scam dan love scam ini tapi masih ramai yang terjebak dan ia banyak melibatkan pesara, kakitangan awam dan golongan profesional...ada pesara guru yang kerugian sehingga RM736,000 dan ada pesara kena tipu RM532,000," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar orang ramai 'berkawan' dengan polis dan merujuk kepada pihak berkuasa jika mendapat panggilan yang mencurigakan bagi mengelakkan daripada ditipu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram