Pekerja balak bakar kereta polis di Pekan direman tujuh hari


  • 112
  • Isnin, 25 Apr 2022

Keadaan kereta peronda polis (MPV) yang hangus di Kampung Selengkong, Nenasi, Pekan.  — PDRM

SEORANG pekerja balak warga Indonesia yang dipercayai membakar kereta peronda polis ketika mengamuk di Kampung Selengkong Nenasi, Pekan, Pahang pada Sabtu direman tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin ketika dihubungi berkata, lelaki berusia 30-an itu direman bermula Isnin sehingga 1 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Pada Ahad, media melaporkan sebuah kereta peronda polis jenis Proton Waja terbakar angkara tindakan seorang pekerja balak yang mengamuk dalam kejadian sekitar 11 malam pada 23 April.

Polis sebelum itu menerima panggilan daripada penjaga tanah matau balak berhubung seorang lelaki sedang mengamuk di kawasan rumah kongsi, sebelum tiga anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.

Suspek juga telah bertindak agresif terhadap anggota polis tersebut dengan memukul dan mencederakan dua anggota sebelum bertindak masuk ke rumah kongsi serta mengambil satu objek menyala seperti api dan membalingnya ke dalam kenderaan polis.

Susulan itu, polis melaksanakan Op Kesan bagi menjejaki suspek sehingga berjaya diberkas sekitar 4.20 petang Ahad berhampiran lokasi kejadian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pahang, polis, balak, Proton Waja, kereta peronda