
PENDUDUK bimbang longkang yang dipenuhi sampah di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor bertukar menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Mereka menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) campur tangan dan membersihkan sampah.
Pengerusi Persatuan Penduduk (RA) Taman Sri Muda, Mogan Thangabelu berkata, longkang Zon A Taman Sri Muda tersumbat dengan sampah-sarap dan daun kering.
“Nyamuk boleh membiak di dalam air yang bertakung dan jika hujan, paras air boleh naik dengan cepat. Kami tidak mahu banjir berlaku lagi di kawasan itu selepas banjir besar pada Disember tahun lalu,” katanya.
Semasa tinjauan StarMetro baru-baru ini, air bertakung dilihat di longkang monsun di sepanjang Jalan Abadi 25/58 selain pagar yang mengelilingi longkang itu rosak.
Begitu juga longkang di sepanjang Jalan Tenang 25/54 dan Jalan Ilham 25/53 dilihat tersumbat dengan timbunan sampah.
Di sepanjang jalan utama Persiaran Budiman pula, kelihatan longkang rosak berhampiran Pangsapuri Andorra.
Mogan, yang juga mengetuai program Komunikasi untuk Impak Tingkah Laku (Combi) di Taman Sri Muda itu berkata, sebanyak 146 kes denggi dilaporkan di kawasan itu setakat 18 April lalu.
Combi ialah pendekatan yang mengawal dan mencegah penularan penyakit melalui pemerkasaan komuniti.
Naib Pengerusi Taman Sri Muda RA R. Vijayakumar berkata, parit sementara telah diwujudkan untuk menyalurkan air hujan dari Persiaran Budiman ke dalam longkang monsun.
“Tanah dikorek tetapi kontraktor tidak meletakkan konkrit untuk membentuk parit. Kini, ia merosakkan pemandangan selain mendatangkan bahaya keselamatan kepada pejalan kaki,” katanya.
Baru-baru ini, Bernama melaporkan RM150 juta telah diperuntukkan oleh MBSA untuk menaik taraf saliran dan kolam tadahan dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menangani isu banjir.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, kawasan kejiranan seperti Taman Sri Muda, Seksyen 13, Taman Mesra dan TTDI Jaya akan diutamakan untuk kerja naik taraf saliran.
Ketika dihubungi, jurucakap MBSA berkata, majlis bandaraya telah mengarahkan KDEB Waste Management Sdn Bhd membersihkan longkang tersebut. — The Star