Rumah tangga Umno-PAS retak kerana orang ketiga - Ahmad Maslan


  • Politik
  • Sabtu, 23 Apr 2022

Umno dan PAS menandatangani Piagam Muafakat Nasional di antara dua parti tersebut pada 14 September 2019. — Bernama

"PPBM mengganggu hubungan kami, umpama orang ketiga dalam rumah tangga," dakwa Datuk Seri Ahmad Maslan.

Demikian luah Setiausaha Agung Umno ketika mengulas mengenai hubungan parti tersebut dengan PAS yang sebelum ini dikatakan sangat baik, namun menjadi retak setelah diganggu oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, perkara itu bermula apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasssin menjemput PAS untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) tanpa berunding dengan Umno.

"Walhal PAS bukan tak tahu dalam mesyuarat, saya sendiri antara orang yang mengatakan bahawa kami tak boleh bersama Bersatu," katanya kepada Majoriti.

99d6b6da-5afb-4636-85ec-bd19608a3900

Ahmad Maslan mengakui Umno tidak sukakan Bersatu.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Umno dekat ibu negara pada Khamis.

Jelasnya, kali terakhir Umno dan PAS bertemu untuk membuat rundingan adalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, pihaknya cuba berunding dan memutuskan bahawa PAS boleh menggunakan logo dan lambang sendiri ketika PRN tersebut.

"Kata orang, kita menghulurkan salam persahabatan kembali kepada PAS di PRN Melaka tapi tak disambut.

"Apabila tak disambut maka di (PRN) Johor pun kami tak hulur lagilah," katanya.

Umno dan PAS pada 14 September 2019 memeterai piagam kerjasama dua parti itu dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional.

Piagam itu merupakan satu tatakelola kerja bagaimana kedua-dua parti harus bergerak dari ketika itu hingga ke pilihan raya umum yang akan datang, kemudiannya diisytiharkan di hadapan ribuan ahli kedua-dua parti yang menghadiri perhimpunan itu.

Tidak sukakan Bersatu

Pada masa sama, Ahmad Maslan mengakui bahawa Umno tidak menyukai Bersatu kerana ia diwujudkan bagi menggantikan parti Melayu terbesar itu.

Tambahnya, Bersatu turut merampas 15 Ahli Parlimen serta empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno.

"Satu lagi, saya yang kena tandatangan surat setiap kali Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) memecat begitu ramai ahli Umno.

"Sebab perkara itu dihantar ke Lembaga Disiplin dan dibawa ke pengurusan sebelum disahkan ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Kemudian yang melaksanakannya saya sendiri sebagai pentadbir parti," katanya.

Beliau berkata, sekiranya bekas ahli Umno ingin kembali kepada parti itu, khususnya individu yang dikenali ramai, maka perkara itu perlu dibincang oleh pihak pengurusan dan MKT.

"Pengurusan yang mengurus dan timbalan presiden check (periksa), lepas tu barulah MKT dan Presiden check.

"Jadi, dua tingkat ini untuk orang yang dikenali umum, kami akan buat keputusan bersama tak kira siapa mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram