DUA kanak-kanak ditahan kerana menconteng dinding di bangunan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Kuantan, Pahang pada Selasa malam.
Perbuatan kanak-kanak lelaki berusia 11 dan 12 tahun itu diketahui pihak MBK selepas pengawal keselamatan melihat mereka berbuat demikian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada malam kejadian.
Berkongsi di Facebook rasmi MBK, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.20 malam.
“Kedua kanak-kanak itu ditahan oleh pengawal keselamatan MBK setelah visual mereka melakukan vandalisme di dinding bangunan Kompleks MBK terakam oleh CCTV.
“Satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya lagi, kanak - kanak tersebut telah diberi nasihat oleh Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin.
“Mereka juga berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut,” ujarnya.
Dalam ruangan komen, pihak MBK turut memberi penjelasan lanjut tentang tindakan yang dilakukan terhadap kanak-kanak terbabit.
Menjelaskan tentang laporan polis yang dilakukan katanya ia hanya untuk memaklumkan kejadian vandalisme di kawasan tersebut.
“Laporan itu bukannya untuk menangkap kanak-kanak tersebut.
“Mereka telah diberi nasihat oleh Datuk Bandar sendiri supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut, diberi wang saku dan dihantar pulang,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram