SEJAK sekolah bersemuka kembali beroperasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak isu-isu melibatkan murid tadika diperdebatkan umum.
Ia termasuk aduan seorang ibu terhadap seorang guru tadika perpaduan di Selangor yang didakwa meminta agar tidak menghantar anaknya ke tadika kerana kerap menangis baru-baru ini.
Terbaharu, tular di media sosial mengenai luahan seorang ibu yang sedih apabila anaknya yang baru dua hari bersekolah di tadika kena ‘reject’ gara-gara terkencing dalam seluar.
Menurut wanita berkenaan, anaknya sebenarnya sudah pandai menguruskan diri sendiri tetapi dia mungkin gugup dan tidak berani menyuarakan keinginan untuk ke tandas.
Rentetan luahan wanita itu, ramai pengguna media sosial memberikan pendapat mereka termasuklah seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Ayu di laman TikToknya.
Luahan dari Cikgu Ayu berhubung isu murid tadika kena 'reject' guru kerana kencing dalam seluar.
Menurut Cikgu Ayu, perbuatan guru berkenaan adalah salah kerana seorang pengajar sepatutnya memberi perhatian terlebih dahulu selama seminggu ke atas murid mereka sebelum membuat keputusan seperti menolak murid tersebut.
Namun begitu, Cikgu Ayu turut menegur sikap ibu bapa yang tidak mengajar anak-anak mereka untuk mengurus diri sendiri kerana baginya anak-anak yang berumur empat hingga enam tahun sudah tahu perkara asas.
"Saya tak salahkan cikgu.. Saya salahkan ibu bapa.. 4 tahun dik.. 4 tahun 5 tahun 6 tahun, anak awak sepatutnya boleh jaga diri! Tadika ini bukan tempat anak-anak anda untuk belajar ke tandas
“Kami didik mereka di tadika untuk menguasai 4M, menguasai suku kata, membaca, mengira segala-galanya. Kalau kita orang nak fokus buang air, tukar semua lampin... alamatnya anak awak tak pandai membaca," katanya.
Cikgu itu turut memohon supaya ibu bapa sentiasa peka dengan perkembangan anak-anak sendiri dan tidak hanya menyalahkan guru sahaja seperti kes murid lambat bertutur tetapi cikgu jua yang disalahkan.
“Sekarang ni kuat betul viralkan cikgu.. sekarang saya viralkan pula sikap ibu bapa yang tidak alert dengan perkembangan anak sendiri. Mengapa kelewatan pertuturan? Main telefon.
“Speach delay salahkan guru. Geram dengan ibu bapa yang mengadu anak-anak mengalami kelewatan pertuturan daripada guru. Selalu salahkan cikgu tapi tidak ajar anak uruskan diri.
“Kerana sering bagi telefon, sampai anak tak tahu apa, tulis pun tak boleh sebab motor mulus dia lemah, asyik tekan telefon, bukan main pasir," katanya lagi.
Namun, video luahan guru berkenaan menerima pelbagai reaksi berbeza dan ada juga ibu bapa yang terguris dengan kata-katanya itu.
Justeru, di hantaran berlainan, Cikgu Ayu kemudiannya memohon maaf kepada semua pihak dan dia akui mungkin ia menyampaikan pendapat itu dengan nada yang salah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram