Terkesan kehilangan rakan seperjuangan, Anwar mungkin bersara selepas PRU15 - Fahmi


  • Politik
  • Rabu, 20 Apr 2022

Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) sudah membuat persediaan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur satu hari nanti, kata pengarah komunikasinya, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata bahawa Anwar telah membentangkan rancangan bagi menggantikan kepimpinannya di hadapan pucuk pimpinan dalam satu perjumpaan parti pada Februari sebelum pilihan raya Johor.

"Beliau pernah berkata 'beginilah keadaannya, inilah yang akan berlaku'. Saya tak ada hak untuk berkata, tetapi terdapat persefahaman.

"Daripada pemahaman saya tentang situasi itu, kita ada satu misi yang perlu kita lakukan. Kita ada agenda ini, agenda reformasi ini yang perlu kita laksanakan," katanya kepada Free Malaysia Today dalam satu temubual baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai rancangan bagi menggantikan kepimpinan Anwar, ahli parlimen Lembah Pantai itu berkata, "Boleh dikatakan satu lagi pilihan raya".

Tambahnya, Anwar "begitu tekad" mengenai perkara itu, walaupun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai rancangan tersebut, termasuk siapa yang akan mengambil alih daripada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Fahmi berkata, Anwar telah terkesan dengan persaraan dan pemergian rakan-rakannya.

“Katakan Lim Kit Siang bersara, Tengku Razaleigh (Hamzah) bersara, Nazri Aziz kata dia tidak akan bertanding semula, sudah tentu orang dalam kumpulan yang sama akan mula merasakan (hal yang sama), dan ia bukan sahaja kerana persaraan politik, ada yang meninggal dunia,” kata Fahmi.

Beliau berkata, Anwar telah mengalami kehilangan beberapa insan yang dekat dengannya, seperti bekas presiden Pergerakan Belia Islam Malaysia (Abim), Siddiq Fadzil, dan adik Anwar, Rusli Ibrahim.

Fahmi berkata, beliau percaya Anwar masih merupakan individu yang tepat untuk memimpin PKR dan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang.

Pada 12 April, Anwar berjaya mengekalkan jawatan presiden PKR dari 2022 hingga 2024 selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti.

Anwar yang berusia 75 tahun juga memenangi jawatan presiden PKR tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi penggal 2018-2021 pada November 2018.

Anak perempuan Anwar, Nurul Izzah berkata, beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan parti PKR akan datang kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendekati rakyat Malaysia yang kecewa dan penat dengan permainan politik menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bekas naib presiden PKR itu berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada kempen Ayuh Malaysia yang diasaskan oleh Rafizi Ramli dan dirinya untuk menarik pengundi atas pagar.

Nurul Izzah adalah salah seorang daripada empat naib presiden yang dipilih selepas kongres PKR pada November 2018.

Hampir sebulan selepas kongres itu tamat, pada 17 Dis 2018, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai naib presiden dan ketua bahagian Pulau Pinang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram