Lelaki mabuk beri alasan jadi mangsa rompak sebelum samun di Klang


  • 112
  • Selasa, 19 Apr 2022

TANGKAP layar rakaman kejadian rompakan melibatkan seorang suspek lelaki di Klang, Selangor pada Ahad.

SEORANG pekerja kedai serbaneka di Taman Sentosa, Klang, Selangor berdepan detik cemas selepas diugut penjenayah mabuk yang melakukan samun pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian pada jam 12.08 tengah hari itu berlaku semasa remaja perempuan berusia 19 tahun berkenaan berada di kaunter premis terbabit.

Menurutnya, ketika kejadian lelaki itu datang dalam keadaan mabuk meminta wang dengan alasan dirinya dirompak sebelum mengeluarkan senjata gergaji kecil dan mengacukan kepada mangsa.

"Mangsa yang takut diapa-apakan telah membuka laci simpanan duit sebelum suspek mengambilnya dan melarikan diri. Kerugian dianggarkan berjumlah RM235.15.

"Semasa kejadian mangsa sedang bekerja seorang diri di dalam premis berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati, suspek dalam keadaan berbau arak yang kuat disyaki mabuk.

"Usaha memburu suspek warga tempatan itu giat dijalankan. Suspek mempunyai susuk tubuh tinggi dan sedikit berisi, berbaju kemeja warna putih, berseluar slack panjang hitam serta berkasut putih.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk salurkan kepada pihak polis," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram