
KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang percaya bahawa pengumuman Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bahawa sektor ekonomi terpilih seperti pelancongan, sektor tidak formal dan yang mengalami kerugian akibat kesan Covid-19, akan dikecualikan daripada pelaksanaan cadangan gaji minimum RM1,500, adalah tindakan tidak tepat.
Menurut Setiausaha MTUC Pulau Pinang, K. Veeriah, sekilas pandang, objektif asas gaji minimum negara adalah berdasarkan prinsip bahawa semua pekerja, tanpa mengira sektor ekonomi yang mereka ceburi, harus dibayar gaji minimum yang selayaknya.
"Mana-mana pekerja yang mendapat gaji di bawah paras gaji minimum negara hanya akan mengakibatkan ketidakpadanan tahap gaji minimum dalam kalangan sektor ekonomi yang berbeza.
"Kerajaan tidak boleh memilih antara sektor apabila ia melibatkan isu asas seperti gaji minimum negara. Pada pandangan kami, gaji minimum negara mesti dikuatkuasakan secara holistik dan bukan secara terpilih.
"Rakyat yang paling terdedah dalam masyarakat kita ialah mereka dalam kumpulan B40 (berpendapatan rendah), kebanyakannya bekerja di sektor tidak formal.
Semua pekerja perlu mendapat gaji minimum yang sama rata
"Dengan mengecualikan mereka daripada memperoleh sekurang-kurangnya RM1,500, kerajaan tidak mengambil berat tentang nasib mereka.
"Berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, mereka akan terus mengalami tekanan kewangan dan kesan kemiskinan jangka panjang.
"Kami berpandangan bahawa kerajaan mempunyai kewajipan moral untuk memastikan setiap kelas pekerja dibayar gaji minimum negara tanpa pengecualian, kerana semua pekerja mempunyai hak Perlembagaan untuk dilayan sama rata," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram