Elak insiden remaja kelar leher pemandu e-hailing, ambil tahu tip berwaspada ini


Mangsa yang cedera di leher dikelar oleh seorang remaja perempuan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

GEMPAR pada Sabtu seorang pemandu e-hailing nyaris maut selepas lehernya dikelar menggunakan pisau lipat oleh remaja perempuan di Jalan Kovil Hilir, Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian pada pukul 2.55 pagi itu melibatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang enggan membayar tambang RM400.

Suspek difahamkan menggunakan khidmat e-hailing Mycar itu dari Sagil, Tangkak, Johor ke Kovil Hilir, Jalan Ipoh dan pada awalnya dia bersetuju untuk membayar tambang RM400 namun setiba di destinasi, suspek enggan menjelaskan bayaran kerana mendakwa tidak mempunyai wang.

Rentetan kejadian itu, rata-rata warganet terutamanya dalam kalangan pemandu e-hailing berasa simpati dengan mangsa yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan mereka berasa sudah tidak selamat ekoran beberapa kes dicatatkan berhubung kejadian seperti itu.

Pengguna media sosial Facebook, Ben Hussin yang juga berkerja sebagai pemandu e-hailing menggariskan langkah berjaga-jaga untuk perhatian rakan pemandu lain agar dapat mengelak daripada menjadi mangsa aniaya penumpang mereka.

WhatsApp Image 2022-04-17 at 23.59.45

Tangkap layar perkongsian pengguna media sosial Facebook, Ben Hussin kepada rakan pemandu lain.

"Bahaya betul penumpang sekarang. Kena sentiasa waspada. Kalau penumpang naik seorang aku tidak akan bagi dia duduk betul-betul belakang pemandu. Aku suruh alih ke kiri. Cermin pandang belakang biar jelas nampak penumpang yang kita bawa.

"Bagi yang bawa waist bag sebaiknya ada pepper spray supaya senang untuk dicapai kerana kita tidak pernah tahu siapa yang kita bawa," katanya.

Tips yang diberikan itu turut dipersetujui oleh pengguna media sosial lain, dmfhusaini yang mana berpendapat bahawa penumpang perlu duduk di bahagian belakang kiri bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Tolong ya. Jangan duduk belakang pemandu. Mencurigakan sangat. Awak naik Grab, awak duduk belakang kiri. Pemandu selamat, awak pun selamat.

"Aku ada nampak seorang perempuan ini suruh orang duduk belakang pemandu. Tindakan itu hanya menimbulkan bahaya," ujarnya.

Pada masa sama, ada juga beberapa pengguna media sosial mendoakan agar mangsa dikelar oleh penumpang itu mendapat pampasan daripada majikannya iaitu syarikat e-hailing terbabit.

Media melaporkan, polis menahan remaja perempuan yang dipercayai terbabit dalam kes itu di premis perniagaan di hadapan Maybank cawangan Jinjang pada pukul 4.55 petang Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram