Kematian peruncit di Baling masih misteri, pencuri 3 tabung tahfiz disyaki terbabit


  • 112
  • Ahad, 17 Apr 2022

Mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan terbabit. — Sinar Harian

SEORANG lelaki maut selepas didakwa ditendang pencuri dalam kejadian kejar-mengejar di Kampung Mengkuang Hujung, Baling, Kedah.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, hasil temu bual isteri mangsa memaklumkan, kejadian bermula apabila seorang lelaki singgah ke kedai runcit milik mereka sebelum melarikan tiga buah tabung untuk maahad tahfiz.

"Mangsa dikatakan bertindak mengejar suspek namun ditemui meninggal dunia akibat kemalangan, kira-kira 1.9 kilometer dari jarak kedai runcitnya," katanya.

Namun, paparan di media sosial yang dimuat naik pengguna Facebook mengatakan bahawa mangsa meninggal dunia akibat ditendang suspek.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat terbabas sendiri dan melanggar tiang TNB di sebelah kiri jalan.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lebih kurang 500 meter dari tempat kejadian juga menunjukkan tiada pergerakan aksi kejar-mengejar pada hari kejadian.

"Akibat kemalangan, motosikal didapati remuk di bahagian hadapan manakala mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Unit Forensik Hospital Kulim mendapati sebab-sebab kematian mangsa adalah 'Ischemic Heart Disease Due To Coronary Artherosclerosis'," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sehubungan dengan itu, pihak polis Baling menyeru mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan dan kejadian curi tersebut boleh menghubungi Inspektor Siti Munira Samsudin di talian 017-4853142 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram