LIMA tahun sejak anaknya terselamat dalam kemalangan membabitkan basikal lajak, Salman Ahmed tidak pernah melepaskan peluang untuk menasihati penunggang basikal tersebut setiap kali dia melihat mereka di jalan raya.
"Saya akan memberhentikan kereta saya dan mengambil gambar mereka.
"Saya akan mengugut untuk melaporkan mereka kepada polis jika mereka tidak pulang segera.
"Dan saya biasanya akan memberitahu mereka bahawa mereka boleh duduk di lokap polis sehingga ibu bapa mereka datang untuk mengambil mereka," kata bekas pemandu bas berusia 56 tahun itu.
Anaknya, Muhamad Arif Salman merupakan salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi pada 2017, di mana sebuah kereta yang dipandu Sam Ke Ting, 27, merempuh sekumpulan remaja berbasikal lajak.
Lapan kanak-kanak, berusia antara 13 dan 16 tahun maut.
Kemalangan itu menyebabkan anak bongsunya mengalami retak kepala dan masalah penglihatan.
Hari ini, Salman berang apabila melihat mat lajak sebegitu.
"Ia mengecewakan melihat kanak-kanak masih ada di jalan raya. Saya akan menghalau mereka kerana saya tidak mahu orang lain melalui apa yang keluarga saya lalui," katanya pada Sabtu.
Salman berang melihat mat lajak di jalanan.
Salman berkata, kenangan pahit pada hari malang itu kembali diingati selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap Ke Ting minggu lalu atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.
Menurut Salman, anaknya yang ketika itu berusia 15 tahun ingin menunggang basikalnya ke Johor Bahru kira-kira 18 kilometer dari rumahnya untuk mengikuti perarakan tahunan Chingay pada malam berkenaan.
Ujarnya, Muhamad Arif sering menunggang basikal bersama sepupunya berusia 16 tahun yang merupakan salah seorang mangsa dalam kejadian tersebut.
"Dia merayu kepada kami untuk membenarkan dia pergi ke sana.
"Kebetulan saya masa itu terlantar akibat sakit gout, jadi saya tidak bercakap banyak.
"Saya cuma memberitahunya supaya pulang awal," ujarnya.
Ketika tengah malam, anak sulung Salman menerima panggilan daripada rakan sekerjanya bertanyakan tentang keberadaan Muhamad Arif kerana berlaku tragedi membabitkan penunggang basikal lajak.
"Kami bergegas ke Hospital Sultanah Aminah dan saya redha sekiranya anak saya meninggal dunia.
"Nasib baik dia terselamat walaupun mengalami kecederaan parah di kepala muka, tangan dan kaki.
"Dia menerima jahitan dan prosedur perubatan untuk menjahit kulit kepala hingga ke rahang, kening serta bahagian tubuh lain.
"Perkara pertama yang Muhamad Arif katakan kepada saya apabila dia sedar adalah 'maaf papa, saya lawan cakap papa, saya minta maaf," katanya.
Ke Ting dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda sebanyak RM6,000.
Hanya selepas beberapa tempoh masa tertentu, keluarga itu memberitahu Muhamad Arif tentang kematian sepupu dan kawan rapatnya.
Budak lelaki itu, yang ketika itu berada di Tingkatan Tiga, akhirnya berhenti sekolah.
Salman, yang berhenti kerja untuk menjaga anaknya sepenuh masa selepas kemalangan itu, berkata, Muhamad Arif tidak lagi sama seperti dahulu sejak kemalangan itu.
Dia menjadi pelupa dan emosinya tidak stabil.
"Sehingga kini, kita tidak boleh menyebut perkataan 'basikal' di sekelilingnya atau dia akan 'mengganas'," katanya.
Mujurlah katanya, Muhamad Ariff beransur pulih.
Dia baru-baru ini mula bekerja di sebuah kilang berhampiran rumah mereka di Plentong.
Salman, yang merupakan bapa kepada tiga orang anak, berkata, keluarganya mahu melupakan pengalaman pahit itu, memandangkan lima tahun lalu menderita akibat komen dan kritikan negatif terhadap mereka.
Baginya, hanya ada mangsa dalam tragedi ini.
“Kedua-dua belah pihak silap. Tiada siapa yang mahu melanggar orang lain dan tiada siapa yang mahu dirempuh.
“Ia sudah berlalu lima tahun. Kami hanya mahu melupakan peristiwa itu,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram