SERAMAI 11 daripada 18 pelajar sebuah madrasah di Rembau, Negeri Sembilan mengalami kecederaan selepas van dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Seremban-Tampin, di Rembau, pada awal pagi Ahad.
Insiden itu terjadi ketika kumpulan pelajar dari Madrasah Hayatul Islam di Batu Hampar itu difahamkan dalam perjalanan pulang ke madrasah mereka setelah selesai terlibat dalam sebuah program sempena bulan Ramadan di Putrajaya.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.43 pagi itu, dua pelajar lelaki masing-masing berusia 13 tahun dan 16 tahun patah tangan kanan dan cedera pada mulut serta gusi.
Hazri berkata, kedua-dua pelajar berkenaan menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Rembau manakala sembilan pelajar lain yang mengalami luka ringan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.
“Pemandu van pula, Muhammad Tamimi Md Suhot, 26, mengalami luka ringan di jari kiri, dan baki tujuh lagi pelajar tidak mengalami kecederaan serius.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa pemandu bersama 18 pelajar menaiki van jenis Toyota Hiace dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai pemandu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan akibat mengelak musang yang melintas jalan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih dijalankan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram