Insiden lelaki sengaja lompat ke cermin hadapan kereta di Klang, warga asing ditahan reman


  • 112
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Tangkap layar kejadian membabitkan lelaki Myanmar itu pada 7 April lalu. — Facebook

POLIS menahan seorang lelaki warga Myanmar, yang dipercayai sengaja mencederakan dirinya dalam satu kemalangan jalan raya di sekitar Klang, Selangor pada minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asistan Komisioner S. Vijaya Rao, pihaknya membuat tangkapan itu selepas menerima satu laporan polis dari seorang lelaki tempatan pada 7 April lalu.

"Pengadu mengatakan semasa sedang memandu dan sampai di sebuah jalan, seorang lelaki tidak dikenali yang berada di tengah jalan secara tiba-tiba berlari meluru ke arah keretanya dan melompat ke arah cermin hadapan.

"Selepas kemalangan itu berlaku, pengadu memaklumkan kepada pejalan kaki yang melanggar keretanya itu bahawa kenderaannya terdapat rakaman kamera papan pemuka dan pejalan kaki tersebut terus beredar dari lokasi kemalangan, dan hanya mengalami kecederaan kecil,” ujarnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Kejadian kemalangan itu turut tular menerusi satu video berdurasi 45 saat, yang dimuat naik di laman sosial Facebook pada Khamis.

Bertindak atas maklumat, Vijaya Rao berkata, pihak polis menahan lelaki berumur 25 tahun itu di Jalan Shahpadu Rantau Panjang, Klang pada Jumaat dan kini direman untuk siasatan lanjut.

"Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram