SEORANG kanak-kanak nyaris menemui ajal apabila hampir dilanggar sebuah kenderaan semasa melintas jalan dalam kejadian yang berlaku di sebuah jalan di Kampung Geting, Tumpat, Kelantan pada malam Jumaat.
Rakaman video tular berkenaan menunjukkan kanak-kanak tersebut berlari melintas jalan secara melulu di kawasan Kampung Geting dan pemandu berkenaan bertindak pantas memberhentikan kenderaannya bagi mengelak kemalangan.
Tindakan pantas pemandu itu berjaya menghentikan kenderaannya hanya beberapa inci daripada kanak-kanak tersebut.
Malah, dalam video dashcam yang dikongsikan pengguna Facebook, Hariz Zaidi itu menunjukkan selepas kanak-kanak itu melintas, kelihatan ibu bapanya muncul dari belakang dengan berjalan secara 'santai'.
Rakaman video kanak-kanak itu melintas secara melulu.
"Tengok baik-baiklah anak itu melintas. Terkejutnya ya ALLAH", ujar pemandu berkenaan.
Sementara itu, warganet di media sosial tidak henti-henti mempersoalkan sikap ibu bapa kepada kanak-kanak malang berkenaan akibat bersikap cuai dan tidak peka dengan anaknya.
"Mak dia pun boleh catwalk depan kereta buat tidak tahu saja. Kalau terlanggar baru nak meroyan mungkin. Patut bunyi hon bertalu-talu sambil dia lintas tu," kata pengguna Facebook, Nadia Adnan.
"Geram pulak tengok. Dah terlanggar nanti baru nak meraung. Buat TikTok lagu dengarkanlah disepanjang malam aku berdoa. Lepas itu tu boleh pulak jalan melenggang kangkung. Mujur la tiada kereta belakang tu kalau tidak tak pasal-pasal dah kena sondol. Dah satu hal. Geram saja. Cakaplah maaf," komen Shafiqah Mazlan.
"Mungkin dia berpegang pada prinsip, "biar mati anak, jangan mati adat". Sebab tu dia jalan santai saja, tidak kisah sangat kalau anak dia kena langgar sekalipun," kata satu lagi pengguna Facebook, Anuar Hasif Aminuddin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram