SEORANG lelaki yang merupakan rakan seorang YouTuber terkenal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Balik Pulau, Pulau Pinang pada Jumaat atas pertuduhan membunuh teman wanitanya.
Abdul Jamal Ahmad, 23, didakwa membunuh Nur Diyanah Haris, 21, di sebuah rumah di Lintang Kampung Masjid, Teluk Kumbar di Balik Pulau, antara 9 pagi hingga 5 petang pada 3 April lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali manakala Abdul Jamal tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang YouTuber terkenal dan tiga rakannya bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang dilaporkan maut dipercayai akibat dipukul di sebuah kediaman di Teluk Kumbar, Balik Pulau, Pulau Pinang pada Sabtu.
Polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau yang memaklumkan seorang wanita dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.
Pemeriksaan ke atas mangsa menemukan kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia pada 3 April ketika menerima rawatan.
Mangsa dan teman lelakinya menumpang di rumah sewa rakan mereka sejak tiba di Pulau Pinang 27 Mac lepas untuk video laman YouTube mereka dan difahamkan wanita itu berasal dari Melaka. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram