SELEPAS seminggu berjoli dengan emas curi bernilai RM10,000, sepasang kekasih akhirnya ditahan pada Khamis.
Pasangan berusia 21 dan 24 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 malam di sekitar Pudu, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, suspek dipercayai menggadaikan seutas gelang emas seberat 36.76 gram yang dicuri dari sebuah kedai di pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan dalam kejadian 8 April lalu.
"Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha NVX, beberapa helai pakaian dipercayai digunakan pada hari kejadian, resit pajak gadai, sejumlah wang tunai dan tiga telefon bimbit.
"Suspek disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan boleh dikenakan denda," katanya pada Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM10,000 dalam kejadian di sebuah kedai di Pekan Kuala Pilah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Jumaat.
Kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan wajah suspek kemudian tular di Facebook. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram