‘Scammer’ sengaja rempuh kereta macam di China, menghilang lepas tahu dirakam ‘dash cam’


  • 112
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Tangkap layar tindakan lelaki berkenaan semasa cuba merempuh kenderaan itu.

PIHAK polis sedang mengesan mana-mana saksi serta suspek utama video tular yang menunjukkan seorang lelaki sengaja merempuh merempuh sebuah kereta di atas jalan raya baru-baru ini.

Video berdurasi 45 saat itu dikongsi di media sosial bersama mesej yang memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan aksi sebegitu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, video itu menunjukkan kemalangan di Jalan Goh Hock Huat di Klang pada 12.08 tengah hari, 7 April lalu.

“Seorang lelaki membuat laporan polis mengatakan seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba melintas jalan dan merempuh badannya ke cermin depan keretanya.

“Pejalan kaki itu mengalami kecederaan ringan dan meninggalkan lokasi apabila diberitahu kereta mangsa dilengkapi dengan dash cam,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, polis mencari pejalan kaki di hospital berhampiran dan klinik kerana lelaki itu belum mendapatkan rawatan perubatan.

Tambahnya, sehingga kini, tiada saksi yang tampil untuk membantu siasatan.

Vijaya Rao menggesa mereka yang mempunyai maklumat untuk pergi ke balai polis berhampiran dan membantu siasatan.

“Kami ingin memastikan punca sebenar kejadian dan mengesan pejalan kaki itu.

"Kami menyiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bahaya," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram