MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru, Johor pada Rabu memerintahkan kerani wanita dipenjara selama enam tahun dan didenda sebanyak RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.
Tertuduh, Sam Ke Ting, didakwa merempuh lapan remaja lelaki tersebut di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru pada 3.20 pagi.
Namun, pada Selasa, rakaman 'dashcam' kereta dipandu Ke Ting sewaktu hari kejadian tular di media sosial, sekali gus menimbulkan pertikaian tentang hukuman yang dikenakan terhadap jurujual berkenaan.
Rata-rata warganet menyifatkan insiden tersebut berpunca daripada kecuaian ibu bapa yang gagal mengawal anak-anak mereka daripada melakukan aktiviti berbahaya seperti itu terutamanya di kawasan lebuh raya.
Seakan-akan tidak serik dengan kejadian yang berlaku di Johor, kelakuan geng basikal lajak turut dirakam di Pulau Pinang.
Video berdurasi 13 saat itu dikongsi oleh pengguna Facebook, Sungai Dua Kesayanganku pada Khamis.
Tindakan salah seorang daripada mereka yang melakukan aksi berbahaya, sempat dirakam dalam video berkenaan.
Menjengah ruangan komen di media sosial, kebanyakan warganet melontarkan kemarahan kepada kewujudan geng basikal lajak tersebut.
"Menyemak jalan raya. Mana mak bapa budak-budak ini, kalau jadi apa-apa, sendiri tanggunglah ya," kata pengguna Facebook, Emylia Naster.
"Nyawa depa banyaklah, hangpa mana tahu," ujar seorang lagi pengguna Facebook, Johnny John.
Ke Ting (tengah) dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun dan didenda sebanyak RM6,000.
Insiden pada 2017 tentu membuka mata kebanyakan pihak tentang bahayanya aktiviti basikal lajak.
Sekiranya terus dibiarkan, kita tidak tahu berapa banyak lagi insiden seumpama itu bakal berulang kembali.
Sudah tiba masanya, kerajaan memikirkan satu mekanisme khas bagi membendung gejala ini daripada terus berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram