Tragedi sebelum berbuka puasa, budak 4 tahun maut dihempap tiang batu pagar rumah di Alor Gajah


  • 112
  • Rabu, 13 Apr 2022

Arshad memberitahu mangsa dihempap batu pagar rumah yang terletak di ruang beranda. — Sinar Harian

KESERONOKAN seorang kanak-kanak perempuan bermain di luar rumah bertukar tragedi selepas maut dihempap tiang batu pagar rumahnya di Kampung Bangla, Bukit Nangka di Alor Gajah, Melaka pada petang Selasa.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, mangsa Nur Iman Irdina Abdul Nuur berusia empat tahun dua bulan sedang bermain bersendirian, manakala ibu mangsa sedang menyiapkan juadah berbuka di dapur dan abangnya berada di ruang tamu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, secara tiba-tiba tiang batu pagar rumah yang terletak di ruang beranda tumbang dan menghempap tengkuk mangsa.

Menurutnya, ibu mangsa yang terdengar bunyi dentuman kuat dari arah luar rumah segera melulu ke arah mangsa dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah pada kepala.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah, Melaka untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan," katanya pada Rabu.

Tambahnya, Nur Iman Irdina merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan bedah siasat dijalankan mendapati, mangsa mati akibat kesan hentakan kuat dari objek keras.

"Hasil siasatan awal didapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram