TIDAK habis-habis isu kanak-kanak menjadi mangsa dera pengasuh dan kejadian itu tidak memilih tempat yang mana boleh berlaku di pusat jagaan kanak-kanak seperti taska mahupun rumah asuhan.
Walaupun isu seperti itu sudah mendapat perhatian pihak bertanggungjawab, namun masalah tersebut masih juga berlaku kepada kanak-kanak dan berdasarkan laporan media, jumlah kes dera yang dilaporkan setiap tahun melebihi 3,000.
Terbaharu, tular di media sosial sebuah rakaman kanak-kanak menangis teresak-esak di sebuah rumah di Pulau Gadong, Melaka dan didakwa kanak-kanak tersebut ditinggalkan oleh pengasuh.
Menurut catatan pemilik video di ruangan komen TikToknya, dia mendakwa pengasuh berkenaan meninggalkan kanak-kanak asuhannya sendirian di rumah, manakala dia akan keluar bersama anak-anaknya.
"Orang sebelah rumah ini jaga anak orang. Tapi selalu sangat keluar kunci rumah tinggalkan budak-budak ini macam itu saja. Kasihan betul bila dengar bayi ini nangis tidak henti-henti.
"Kita yang jiran ini yang kasihan dengar. Rasa macam nak bagitahu benda-benda sebenar dengan ibu bapa budak-budak ini tapi tidak kenal," dakwanya.
Rakaman video kanak-kanak itu menangis saat ditinggalkan pengasuh.
Malahan, dia mendakwa kejadian seumpama itu bukan yang pertama kali berlaku.
Namun begitu, video asal berkenaan yang tular di aplikasi TikTok terpaksa dipadam oleh pemilik kerana dakwanya pengasuh terbabit tidak puas hati dengan tindakannya dan meminta untuk memadam rakaman berkenaan.
"Pukul 2 pagi dia telefon adik saya sebab nak nombor telefon saya. Dia tidak simpan nombor saya. Dia datang tidak bagi salam terus saja minta saya padam video itu.
"Ikutkan hati saya tidak ingin padam tapi kenangkan jiran sebelah rumah sebab tu saya padam. Malas nak bergaduh. Pada sesiapa yang sudah kongsikan di media sosial, itu hak anda," kata pengguna Tiktok yang bernama Kenoi Pai itu di hantarannya.
Meskipun video asal sudah dipadam tetapi ramai warganet yang kongsikan rakaman itu di platform media sosial.
Dalam pada itu, ramai warganet mencadangkan untuk melaporkan pengasuh itu kepada polis atau pihak ibu bapa kerana jika kesalahan yang sama terus diulang, nyawa kanak-kanak itu berdepan risiko kerana ditinggalkan bersendirian.
Pihak Majoriti cuba mendapatkan maklum balas dari pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung video tular itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram