Remaja perempuan sempat pakai stoking sebelum hilang dari rumah di Chemor


  • 112
  • Selasa, 12 Apr 2022

Kes kehilangan Humaira (gambar) juga tular di media sosial.

POLIS berjaya menemui semula seorang pelajar perempuan, Humaira Ahmad Fauzi, 14, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Desa Klebang Perdana, Chemor, Perak pada Ahad lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, Humaira ditemukan selamat di Pontian, Johor pada Selasa.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian bahawa Humaira dijumpai bersendirian di Masjid Bandar Pontian kira-kira 5 pukul petang.

"Ibu bapa Humaira juga berada di sana (Pontian) sekarang bersama pihak polis Pontian. Siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dilakukan,” katanya ringkas.

Sementara itu, kakak pelajar tersebut, Sabrina, 24, ketika dihubungi berkata, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan pelik kecuali memakai stoking pada pagi kehilangannya atas alasan mengelak sejuk sebelum keluar rumah.

Beliau berkata, Humaira yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik itu sepatutnya pulang semula ke asrama sekolahnya di Simpang Empat, Semanggol pada Ahad, selepas selesai menjalani kuarantin kendiri di rumahnya akibat dijangkiti Covid-19.

"Humaira hanya membawa beg galas yang biasa dia bawa dan tidak pula membawa barangan peribadi lain seperti fonkepala atau bantal kegemarannya. Adik saya tidak mempunyai ramai kawan sebab dia lebih suka menyendiri. Media sosial pun tidak aktif tetapi dia suka melukis,” katanya.

Kisah kehilangan Humaira turut tular menerusi media sosial dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya meminta jasa baik netizen supaya melaporkan kepada mereka jika menjumpainya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram