Lelaki potong jari sendiri buktikan kebenaran


  • 112
  • Selasa, 12 Apr 2022

Tangkap layar video mangsa memotong jari kelingking tangan kirinya dengan sebilah pisau. — Facebook

BARU-BARU ini, tular satu video di media sosial yang mana menunjukkan seorang lelaki terpaksa memotong jarinya sendiri.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis mendapati satu video berdurasi tujuh minit di Facebook memaparkan seorang lelaki memaksa mangsa memotong jari sendiri dan memukulnya dengan rantai besi.

Beliau menambah bahawa suspek, seorang penganggur berusia 49 tahun, dipercayai memaksa mangsa berbuat demikian untuk membuktikan dia tidak membunuh teman wanitanya.

"Polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 36 tahun sekitar pukul 1 pagi. Mangsa memaklumkan kejadian itu berlaku sewaktu pertengkaran dengan suspek pada 13 November di sebuah rumah di Taman Chi Liung.

"Suspek menampar mangsa dan mencabar mangsa untuk memotong jarinya untuk membuktikan dia tidak mempunyai kaitan tentang kematian teman wanitanya yang juga rakan kepada suspek.

"Bagi membuktikan dirinya tidak bersalah, mangsa mengambil sebilah pisau pemotong daging dan memotong jari kelingking tangan kirinya sebelum pengsan," kata Hoong Fong.

Hoong Fong berkata, walaupun mangsa tidak membuat sebarang laporan polis pada mulanya, suspek datang semula untuk berjumpa mangsa pada Ahad lalu dan bertindak memukul belakang badan, kepala, tangan kiri dan kaki mangsa dengan rantai besi, dalam kejadian berasingan.

"Suspek merakam kedua-dua kejadian ini di telefon bimbitnya.

Video kejadian yang tular di media sosial. — Majoriti

"Siasatan mendapati teman wanita mangsa berusia 35 tahun ditemui mati pada 9 November tahun lalu dan kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut," tambah Hoong Fong.

Usaha mengesan suspek yang dikenali sebagai Chong Guan Ming sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kes diminta untuk menghubungi hotline polis di talian 03-3376 2222 atau maklumkan kepada balai polis berhampiran — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram