JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menjalankan siasatan mengenai kesahihan dakwaan yang diutarakan oleh seorang pengguna Twitter berhubung isu datuknya dipaksa menerima dos penggalak di Klinik Kesihatan Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak.
Bercakap pada Majoriti, Pejabat Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau berkata, pihaknya telah berhubung dengan JKN Perak berkenaan isu tular itu.
"Berkenaan isu tular yang didakwa oleh pengguna Twitter itu, pihak Exco sendiri telah merujuk dengan JKN Perak dan mereka pun masih dalam proses siasatan untuk mengetahui akan kesahihan dakwaan itu.
"Selepas siasatan, pihak kami akan memaklumkan semula jika dakwaan itu adalah benar ataupun tidak," kata pegawai pejabat exco yang enggan dikenali.
Pada Isnin, tular di mesia sosial mengenai dakwaan seorang pengguna Twitter yang mengatakan datuknya dipaksa mengambil dos penggalak oleh doktor di Klinik Kesihatan Padang Rengas.
Malah, pengguna Twitter itu turut mendakwa doktor di klinik berkenaan tidak mengambil inisiatif untuk bertanya soalan-soalan penting seperti jenis vaksin yang pernah dperolehi oleh warga emas itu sebelum ini.
Dakwanya, susulan dos penggalak yang diterima, badan datuknya berasa gatal-gatal dan tompok kemerahan turut muncul.
Majoriti cuba menghubungi pengguna Twitter itu untuk mengulas lanjut isu berkenaan namun masih belum menerima maklum balas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram